Apabila ada peneroka Felda yang berani berhimpun
menuntut hak mereka, itu adalah petanda awal negara akan berubah dalam
masa terdekat
KUALA
LUMPUR: Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali, berjanji untuk
memperjuangkan nasib peneroka yang tidak diberikan lesen persendirian
dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk menjual hasil mereka
kepada kilang lain.
Jelasnya, walaupun perbahasan dalam dewan rakyat telah dihalang
tetapi sebenarnya mereka (peneroka) tidak kalah dalam perjuangan mereka.

“Apabila ada peneroka Felda yang berani berhimpun menuntut hak
mereka, itu adalah petanda awal negara akan berubah dalam masa
terdekat,” ujarnya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelasnya, dahulu peneroka Felda dianggap sebagai kubu kuat Umno tetapi itu telah menjadi sejarah.
“Pada hari ini kita dapat saksikan Pakatan Rakyat telah bawa isu ini
dan telah ditolak. Isu yang kita bawa bukannya politik tetapi isu
rakyat.
“Ini bukan usul tetapi petisyen yang dibenarkan oleh perlembagaan tetapi itupun ditakuti oleh pemimpin Umno,” katanya.
Menghalang suara rakyat
Dapat dilihat, watak Ahli Parlimen Paya Besar (Datuk Abdul Manan
Ismail) yang menjerit-jerit menghalang supaya suara peneroka tidak
didengari.
“Bila waktu mengundi mereka mahukan undi daripada peneroka Felda
tetapi setelah dipilih mereka pula menghalang suara rakyat Felda.
“Sedangkan berapa banyak Felda dalam Paya Besar dan beliau pula menikus, menjerit dan mengaibkan peneroka,” katanya
Jelas Azmin, selagi peneroka tidak diberikan kebebasan untuk menjual
hasil buah mereka kepada pengilang yang mereka suka selagi itulah Felda
akan menekan dan membuli peneroka dengan harga yang tidak munasabah.
“Hari ini tidak ada seorang pun pemimpin Umno yang datang membela,” katanya.
Bagi Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa perkara itu telah direkodkan di
dalam dewan rakyat tetapi telah ditolak Speaker Dewan Rakyat Pandikar
Amin Mulia dengan memberikan alasan teknikal.
“Speaker telah memberi penjelasan bahawa petisyen itu seharusnya
dibawa oleh seorang wakil rakyat, dan mengatakan bahawa ada tangatangan
yang tercicir, serta ia ditolak berdasarkan penjelasan yang diberikan
oleh pihak kerajaan,” katanya sewaktu sidang media di luar parlimen.