Fauzi (kiri) bersama kakitangannya menunjukkan produk Gloria Jean’s Coffees.  
  • Fauzi (kiri) bersama kakitangannya menunjukkan produk Gloria Jean’s Coffees.
KENAIKAN kos sara hidup yang dirasai rakyat sekarang ini berkait rapat dengan kenaikan kos dalam perniagaan.
Secara ringkasnya, semakin mahal kos menjalankan perniagaan, semakin tinggi harga produk atau perkhidmatan itu dijual.
Pemansuhan sebahagian subsidi petrol dan diesel tahun lalu serta kenaikan tarif elektrik pada awal tahun ini antara penyumbang kepada kenaikan kos perniagaan di Malaysia, seperti diakui beberapa syarikat yang ditemui Sinar Harian.
Pengurus Pembangunan Francaisi Daily Fresh Foods Sdn Bhd, Irene Chia Ai Ling berkata, akibat kenaikan tarif elektrik dan bahan bakar, syarikat itu perlu menampung kos tambahan untuk mengeluarkan pelbagai produk snek Daily Fresh seperti bertih jagung.
“Syarikat kami terpaksa tambah kos sebanyak 20 peratus untuk tampung kenaikan tarif elektrik dan kira-kira 10 peratus untuk minyak lori yang digunakan bagi menghantar bekalan kepada francaisi,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan harga produk makanan akan dinaikkan selepas cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan tahun hadapan.
“Kami hendak lihat dahulu bagaimana keadaan ketika itu (apabila GST dilaksanakan). Tetapi kalau katakan harga makanan naik, ia tidak terlalu tinggi.
“Kami tiada pilihan sebab kos pengeluaran bertambah akibat faktor itu, selain kos-kos sampingan lain seperti sewa kedai,” katanya.
Bagi memastikan francais Daily Fresh terus berkembang, Ai Ling berkata, syarikat itu memperkenalkan sistem francais mikro dengan pelaburan lebih rendah, iaitu antara RM33,000 hingga RM38,000.
“Kalau buka kios Daily Fresh yang biasa, perlukan pelaburan dalam RM120,000. “Namun, kita sedar adanya perubahan ekonomi semasa dan strategi ini digunakan untuk menambah cawangan kami,” katanya.
Sementara itu, syarikat Wonderful Lifestyle Sdn Bhd, iaitu pengendali francais Gloria Jean’s Coffees di Malaysia dan Brunei, berazam untuk tidak menaikkan harga minuman serta makanan di premis itu di sebalik persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fauzi Awang berkata, walaupun berdepan kenaikan kos pengeluaran akibat peningkatan tarif elektrik, bahan bakar dan pelaksanaan GST tahun hadapan, semua itu masih boleh ditampung dengan keuntungan syarikat tersebut.
“Produk kami dari Australia dan mereka ada skala ekonomi tertentu serta hasilkan bahan (mentah) seperti biji kopi dan sirap (bahan perasa dalam minuman) untuk semua francaisinya," katanya.
Menurutnya, kenaikan bahan bakar dan tarif elektrik tidak menjejaskan pengeluaran produk mereka.
Bil elektrik naik sehingga 40 peratus