Mohamed Khaled Nordin menunjukkan rang undang-undang  Enakmen  Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 yang telah diluluskan pada persidangan Dun Johor ketika sidang media di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di Johor Bahru hari ini. - Foto Bernama 
Mohamed Khaled Nordin menunjukkan rang undang-undang Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 yang telah diluluskan pada persidangan Dun Johor ketika sidang media di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di Johor Bahru hari ini. - Foto Bernama
NUSAJAYA - Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang diluluskan rang undang-undang penubuhannya oleh Dewan Undangan Negeri di sini hari ini dijangka memulakan fungsinya pada suku pertama tahun hadapan.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membayangkan bahawa, pemilihan sumber tenaga manusia bagi lembaga itu akan memberikan satu cabaran yang amat besar kepada kerajaan negeri.
"Suku pertama tahun depan. We have to get the right human resource, get the right CEO...it is a very challenging task, (Kita perlu dapatkan sumber manusia yang betul, dapatkan CEO yang betul...ia tugas amat mencabar)," katanya pada sidang akhbar selepas itu.
Ditanya sama ada ahli-ahli lembaga pengarah dan ketua pegawai eksekutif itu nanti akan terdiri daripada rakyat negeri ini, Mohamed Khaled berkata, ia masih awal baginya menjawab soalan itu kerana rang undang-undang LPHJ itu baharu sahaja diluluskan.
Rang undang-undang tersebut telah diluluskan dengan 10 pindaan terhadap lapan fasal.
Pindaan rang undang-undang berkenaan antaranya membabitkan Fasal 4 (3) Keanggotaan Lembaga iaitu ahli-ahli lembaga boleh dibayar saraan atau elaun seperti yang ditentukan oleh Raja, dipinda kepada ahli-ahli lembaga boleh dibayar saraan atau elaun seperti yang ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri.