Mursi bersama ahli Ikhwanul Muslimin masih berada dalam tahanan di Iskandariah. Foto: EPA 
 Mursi bersama ahli Ikhwanul Muslimin masih berada dalam tahanan di Iskandariah. Foto: EPA
KAHERAH - MESIR. - ‘Bantah dan tentang rampasan kuasa’, itu respons pertama Presiden Mesir yang digulingkan Mohammed Mursi selepas bekas ketua tentera Abdel Fattah Al-Sisi disahkan sebagai Presiden baharu.

Kenyataan itu disiarkan menerusi laman rasmi Facebook Mursi kelmarin.

Dalam kenyataan itu, beliau mengarahkan belia Mesir untuk terus melakukan revolusi yang sebelum ini pernah dilakukan pada 25 Januari 2011.

“Revolusi tidak akan lenyap selagi ia wujud melalui usaha belia di negara ini. Saya mengaku telah membuat kesilapan, tetapi saya memberi jaminan bahawa saya tidak pernah mengkhianati negara saya,” katanya dipetik Al Arabiya

Menurut kenyataan itu lagi, masa depan Mesir terletak pada belia negara itu dan merekalah yang digelar wira.

Pada akhir mesej itu, beliau menandatangani nama penuhnya dan nama ‘Republik Presiden Mesir’.

Mursi kini berada di dalam tahanan bersama pengikutnya dari gerakan Ikhwanul Muslimin atas tuduhan pengintipan untuk menghasut pembunuhan.