Che Azmi KUALA NERUS – Setelah beberapa hari anggota Exco yang juga Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dan orang terdekatnya mengambil pendekatan berdiam diri berhubung spekulasi beliau akan menggantikan Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar
Terengganu, semalam abangnya, Che Azmi Abdul Rahman tampil meminta semua pihak berhenti mengaitkan adiknya dengan khabar angin itu.

Che Azmi yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, adalah tidak adil adiknya itu dijadikan sasaran kerana spekulasi bakal menteri besar bukan berpunca daripada Ahmad Razif sendiri atau orang lain yang dekat dengannya.

"Kita pun tak tahu dari mana datangnya cerita ini, jadi saya minta janganlah jadikan dia (Ahmad Razif) sasaran, janganlah dia dipersalahkan. Dia sendiri tidak tahu menahu (hal pertukaran menteri besar).

"Berilah peluang untuk beliau terus berkhidmat dengan selesa. Cerita ini banyak menjejaskan dirinya, kredibilitinya sebagai wakil rakyat. Ada orang kata dia yang teringin nak jadi menteri besar," katanya.