K Ramachandran
PETALING JAYA - “Saya pada awalnya menawarkan diri untuk bertanding, tetapi pada 26 April yang lalu membuat keputusan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, saya ambil keputusan ini kerana kecewa dengan tingkah laku calon-calon lain,” demikian menurut bekas calon Timbalan Presiden PKR, Datuk K Ramachandran mengenai tindakan beliau menarik diri  untuk persaingan kerusi Timbalan Presiden PKR.

Ramachandran berkata, kecewanya beliau adalah kerana calon-calon lain terlalu ghairah berkempen sehinggakan melupakan penderitaan yang ditanggung Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Masalahnya apa yang saya nampak ialah calon yang berkempen terlalu ghairah dan mereka tidak memikirkan masa depan parti dan penderitaan Datuk Seri Anwar yang sedang bergelut dengan kes mahkamah dan kemungkinan besar akan dihantar kembali ke penjara,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini

Oleh itu, Ramachandran mengisytiharkan dirinya menyokong Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang didakwa satu-satunya yang mempertahankan Anwar dalam siri ceramah Reformasi 2.0.