Mohd Nor Izzat Mohd JohariSEJAK tahun lalu, isu sistem pendidikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) terus mendapat perhatian sehingga ke hari ini. Banyak perkara dibangkitkan oleh pelbagai pihak terutama berkaitan pelaksanaan sistem itu yang dilihat pincang.

Namun selepas desakan demi desakan, kementerian dilihat mula menambahbaik beberapa perkara termasuk berkaitan sistem capaian online SPPBS.

Ikuti temu bual Sinar Harian Online bersama Ketua Biro Pendidikan Gabungan NGO Islam & Melayu Malaysia (GNIMM), Mohd Nor Izzat Mohd Johari, seorang guru yang lantang dalam memperjuangkan kempen Mansuh PBS selepas ia dilihat gagal mencapai objektif sebenar.

SINAR HARIAN ONLINE: Perkembangan sistem pendidikan PBS selepas dibantah?

NOR IZZAT: Ada tiga komponen terbesar yang diubah. Pertama, sistem online. Dalam perbincangan  24 Disember 2013, seperti yang dijanjikan Datuk Seri Idris Jusoh sendiri di hadapan pegawai-pegawai di kementerian, mengatakan ingin naik taraf ‘server’.

Jadi, (ketika itu) kita kena tunggulah pada 1 April dengan ‘server’ yang baru. Beliau pernah umumkan dalam media bahawa sistem online itu akan dimigrasikan bersama sistem pengurusan sekolah. Selepas desakan kita, akhirnya mereka buat keputusan pada 18 Mac, bahawa sistem itu ditiadakan atau dalam bahasa kita, dimansuhkan.

Kedua, berkenaan pengurusan fail murid. Maknanya selepas ini, ‘evidence’ tak perlu dibuat. Jadi, kita lihat perkara itu baik, cuma, menjadi satu persoalan, adakah fail-fail sebelum ini diguna pakai?...mungkin ini persoalan yang pihak kementerian wajar menjawab sebelum ada pertikaian lain.

Kemudian yang ketiga, tentang Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Apa yang kita dapati, PT3 ini dalam tempoh selepas diumumkan, ada dua kali pertukaran format yang kita semua memang tak perasan tapi guru-guru perasan.

Pertama, dulu dikatakan ada pentaksiran pusat, hanya lima subjek termasuk tambahan empat subjek bahasa. Secara keseluruhannya sembilan. Tapi lepas desakan, mereka cuba mengubah bahawa semua subjek ada pentaksiran pusat. Jadi, kalau bagi saya, secara ringkas, bukan ada perubahan apa-apa. Sama macam PMR cuma ditukar nama.

SINAR HARIAN ONLINE: Baru-baru ini Menteri Pendidikan II mengumumkan tentang sesi penerangan PBS terhadap ibu bapa akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara, bulan depan. Apa pandangan anda?

NOR IZZAT:  Seperti yang saya jangka dari awal tahun lepas, memang mereka akan membuat perancangan untuk menerangkan sebab sebelum diumumkan, dalam tempoh sebelum nak ditangguh itu, mereka ada buat satu taklimat kepada pentadbir, guru dan ibu bapa. Nama taklimat itu adalah Taklimat Penataran Penambahbaikan PBS.

Saya duduk dalam dua jenis taklimat iaitu bersama pentadbir dan guru. Dua taklimat ini mereka sampaikan maklumat yang berbeza-beza. Itu saya berani jamin cakap. Dengan pentadbir kata A, dengan guru kata B.