REALITI politik di Malaysia mengkehendakan calon PM mestilah dari kalangan Islam-Melayu.

Oleh itu, artikel ini tidak akan mengulas mengapa calon daripada kaum dan agama lain tidak diutarakan untuk menjadi calon PM.

Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat bertanding di PRU14, siapa yang boleh diketengahkan menjadi calon perdana menteri Pakatan Rakyat (PR)?

Siapa di kalangan pimpinan PR kini yang mendapat sokongan ketiga-tiga parti untuk menerajui satu kedudukan yang penting?

Hanya di Selangor saja sesuai menjadi tempat untuk PR mencari calon PM di PRU14 selepas kehilangan Anwar kerana di negeri ini, ketiga-tiga komponen parti PR hampir sama kuat.

Di negeri Pulau Pinang, bukan negeri yang boleh dilihat mewakili komponen parti PR dengan baik, begitu juga dengan Kelantan.

Pendek kata, sesiapa yang menduduki kerusi menteri besar Selangor adalah calon yang paling sesuai untuk menggantikan Anwar sebagai calon PM di PRU14 kerana beliau disokong ketiga-tiga parti.

Dan orangnya sekarang ialah Tan Sri Khalid Ibrahim.

Jika Khalid berjaya menjadi Timbalan Presiden PKR pada bulan Mei ini, beliau akan mengukuhkan kedudukannya di PR dan sebagai pengganti kepada Anwar di PRU14.

Namun begitu, kini Khalid dilanda sedikit masalah persepsi dalam ketidaktelusan MoU air yang ditandatanganinya dengan Putrajaya dan kes penyelesaian hutang AS$18 juta antara beliau dengan Bank Islam.