Lebuh raya rakyat akan direalisasikan 
KOTA BHARU - Sidang Dewan semalam dimaklumkan pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai tidak akan menghadapi masalah biarpun dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan Pusat secara berasingan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, itu adalah kerana pembinaan lebuh raya sejauh 73 kilometer (km) itu akan ada ‘titik pertemuannya’ nanti.

“Tidak pertemuan tidak akan lari walaupun setengah meter, sebab konsultan dan tender adalah dari pihak yang sama, diuruskan anak Kelantan yang berjaya dalam bidang ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) pada Persidangan Dewan Dun Kelantan semalam.

Dalam pada itu, menjawab soalan Tuan Mohd Roseli Ismail (Pas-Kemuning), Hanifa menegaskan kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi memastikan lebuh raya rakyat itu dapat direalisasikan.

“Projek ini hendaklah ada kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri. Ini bukan untuk Kelantan tetapi untuk rakyat negeri  Kelantan.

 “Kita juga difahamkan bagi fasa pertama dari Machang ke Kuala Krai sejauh 30 km dan  Kota Bharu-Machang kira-kira 43 km akan dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat sebagaimana dilaporkan media,” katanya.