Ultras Malaya 
KUMPULAN penyokong yang menggelarkan diri mereka Ultras Malaya enggan mengadakan sebarang perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kekacauan yang ditimbulkan mereka semasa perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dan Filipina di Stadium Selayang pada Sabtu lalu.
  
Jurucakapnya yang enggan dikenali berkata ia sudah terlambat untuk membincangkan sebarang perkara antara kedua-dua pihak.
  
"Dulu kami pernah guna saluran yang betul untuk menyampaikan ketidakpuasan hati kami terhadap FAM, tetapi ia tidak diendahkan. Jadi sekarang kita tunggu dan lihat sahaja," katanya kepada Bernama.
  
Beliau diminta mengulas mengenai hasrat FAM untuk mencari penyelesaian terbaik bagi meredakan ketegangan membabitkan kumpulan itu yang bertindak membakar suar dan mercun ketika perlawanan persahabatn tersebut sehingga menyebabkan permainan terpaksa dihentikan lapan minit.
  
Jurucakap itu berkata pihaknya mahu menyampaikan mesej kepada FAM dan berharap ia berubah demi masa depan bola sepak tanah air. - Bernama