BARU-baru ini seorang usahawan muda di Lembah Kelang melahirkan rasa kecewanya kepada saya terhadap sistem pengeluaran sijil halal di Malaysia.

Beliau berjaya membina bisnes makanan burger dan kini memiliki rangkaian lebih 20 outlet kedai burger, sejauh ini pada sebahagian besar di Lembah Kelang, dengan jumlah pengguna melebihi tiga juta orang.

Beliau merancang untuk segera mengembangkan bisnesnya ke kawasan lain setelah mendapat sambutan menggalakkan.

Daya keusahawanan tinggi dan cita-cita besar beliau untuk menjadi usahawan berjaya jelas kelihatan daripada watak dan personalitinya, terutama apabila beliau menceritakan pengalaman pembangunan bisnesnya, dari tahap kecil-kecilan, hingga kini mencapai jualan melebihi RM2 juta sebulan.

Tidak cukup kakitangan Usahawan muda dinamis dan bersemangat berdikari tinggi seperti ini merupakan ahli bisnes tonggak utama masa depan ekonomi bangsa, iaitu pejuang membina ekonomi bangsa dan
negara yang sangat layak mendapat segala sokongan dan kerjasama semua pihak.

Namun, malangnya beliau kecewa apabila ramai pelanggan Muslim bisnesnya meragui tahap halal produk burgernya sehingga ada yang menuduh burger yang beliau jual “tidak halal”, sekalipun mereka tahu burger yang beliau gunakan dikeluarkan sendiri di kilang milik syarikat beliau dan menurut beliau, bahan digunakan adalah daripada sumber yang semuanya telah mendapat sijil halal yang sah.

Keraguan halal terhadap produk berlaku kerana sekalipun telah bertahun beroperasi dan lebih lapan bulan memohon sijil halal, beliau masih belum menerima pengiktirafan halal yang sangat penting untuk meyakinkan pelanggan, juga strategik kepada masa depan bisnes menambah nilai jenama produknya.

Beliau telah membuat beberapa rayuan meminta urusan ini disegerakan. Dalam satu surat jawapan diterima daripada penguasa sijil halal dinyatakan: “…proses pengesahan yang meliputi semakan kecukupan dokumentasi permohonan dan pemeriksaan pematuhan premis akan dijalankan terlebih dahulu pada kadar yang segera sebelum pertimbangan kelulusan boleh dibuat.”

Surat jawapan yang dipetik di atas bertarikh 18 Disember, 2013. Sehingga artikel ini ditulis, belum ada pemeriksaan dibuat dan sijil halal masih belum diperoleh. Jelas sekali karenah birokrasi menjadi salah satu halangan besar kepada ahli bisnes dan usahawan Muslim untuk meningkatkan usaha menyumbang kepada kejayaan ekonomi bangsa.