KUALA LUMPUR:
Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) membantah kenyataan Menteri Kewangan
Kedua Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzalah yang mengatakan cukai cukai
barangan dan perkhidmatan (GST) 6% bukan satu beban kepada rakyat.
Menurut Koordinator Jerit, Parames E, menteri kewangan itu nampaknya cuba mengelirukan rakyat dengan kenyataannya.
Katanya, 6% cukai GST atau tambahan cukai hanya RM15.06 bagi keluarga
yang berpendapatan RM2,000 sepertimana yang dikatakan oleh menteri
tidak munasabah.
“Apakah yang dimaksudkan oleh menteri sebagai tambahan cukai?” tanya beliau dalam satu kenyataan.
Katanya, bagi sebuah keluarga yang berpendapatan RM2,000 mereka hanya
mampu menggunakan kesemua pendapatan mereka untuk perbelanjaan asas
seperti barangan dapur, perbelanjaan sekolah, perbelanjaan pengangkutan
pergi balik kerja, pembayaran bil api dan air dan bayaran pinjaman
perumahan ataupun sewa rumah.
Tambahnya, jika cukai GST 6% dilaksanakan keluarga tersebut perlu membayar RM120 sebulan untuk cukai barangan dan perkhidmatan.
“Jika betul apa yang dikatakan oleh menteri bahawa keluarga tersebut
hanya membayar RM15.06 cukai, adakah ini bermaksud kerajan bagi
pengecualian cukai sebanyak 87.45% kepada keluarga yang berpendapatan
RM2,000 ke bawah?” tanya beliau lagi.
Katanya, menteri mengaku sendiri dengan pelaksanaan cukai GST akan ada pertambahan dalam kenaikkan harga barang sebanyak 1.8%.
Ini, ujarnya bermakna kenaikkan harga 1.8% adalah bagi barangan dan
perkhidmatan yang sedang dan sudahpun naik harga menjelang 1 April
2015.
Kini, ujarnya rakyat sudahpun menderita akibat kenaikkan harga barangan dan perkhidmatan yang kian bertambah.
Katanya, menurut Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz
hutang seisi rumah di Malaysia adalah 83% daripada KDNK dan yang
tertinggi di Asia berbanding dengan Singapura 67% dan Hong Kong 58%.
Justeru, kata beliau apakah nasib rakyat jika cukai GST dilaksanakan.