Pengundi hantu Kajang, jangan salahkan rakyat
SHAH ALAM – Sejak beberapa hari lalu, gambar sekumpulan pendatang asing yang didakwa dirakam di stesen Komuter Kajang mula beredar di laman-laman sosial.

Kecoh di Twitter dan Facebook yang mengaitkan kemasukan pendatang asing dipercayai warga Myanmar itu dengan pilihan raya kecil (PRK) Dun Kajang yang bakal berlangsung, bulan depan.

Mengulas mengenai dakwaan tersebut, Pengarah Strategi DAP, Dr Ong Kian Ming berkata kehadiran warga asing di Kajang tidak semestinya dikaitkan dengan pengundi hantu ekoran kawasan sekitar Kajang mempunyai banyak kilang.

“Kita ada banyak kilang di kawasan berdekatan Kajang, jadi, ada kemungkinan mereka adalah yang bekerja di Kajang. Bukan semestinya pengundi asing,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Namun, beliau yang juga Ahli Parlimen Serdang tidak menyalahkan orang ramai yang membuat dakwaan tersebut ekoran isu mengenai pengundi hantu pada pilihan raya umum yang lalu tidak diselesaikan sebaiknya oleh pihak berkuasa.

“Masalahnya ialah setelah PRU13, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak ambil apa-apa tindakan untuk menyiasat sama ada dakwaan-dakwaan ini (pengundi hantu) adalah betul atau tidak. Penjelasan yang diberi SPR memang tidak meyakinkan orang ramai.