Penerima wang bantuan banjir kecewa 
KUANTAN - Seorang penerima wang bantuan banjir kecewa apabila salah satu sampul wang yang diterimanya dalam majlis penyerahan di Dewan Sukpa, kelmarin didakwa kosong.

Abdul Shukor Azid@Aziz, 49 dari Taman Beserah di sini berkata, akibat masalah itu dia gagal mendapatkan RM250 bantuan daripada kerajaan negeri.

Menurutnya, dia tidak menyalahkan sesiapa dalam hal itu bagaimanapun sedikit terkilan kerana aduannya  kepada pegawai yang bertugas semasa majlis penyerahan tiada kata putus.

“Saya ada bertemu pegawai termasuk dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaporkan perkara ini namun aduan saya seolah-olah dipandang lewa.

“Saya sendiri tidak pasti saluran untuk mengadu bagi mendapatkan kembali wang itu sehingga ada pihak meminta saya membuat laporan polis bagi memudahkan rujukan pihak berkenaan,” katanya ketika ditemui di pekarangan balai Polis Kuantan di sini, kelmarin.