Tuan Ibrahim Tuan Man 
SHAH ALAM - Pas hari ini menyelar tindakan kumpulan yang melakukan provokasi yang akan memberi kesan kepada imej Islam.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan kumpulan itu bukan sahaja bertentangan dengan akidah Islam dan menggalakkan perbuatan yang tidak baik.

"Pas kesal dengan provokasi perkauman melampau akhir-akhir ini. Tindakan melampau ini bukan sahaja boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dalam negara bahkan ia akan mengundang pelbagai reaksi negatif terhadap Islam.

"Tindakan sembelih ayam untuk upacara yang bertentangan dengan akidah Islam tidak seharusnya dibiarkan seolah ianya selaras dengan kehendak syarak.

"Lebih sedih, apabila tindakan menggalakkan orang menampar dengan habuan wang itu disasarkan terhadap seorang wanita," katanya dalam laman Facebooknya, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan sekumpulan NGO bertindak menyembelih dua ekor ayam dan melumur darahnya pada kain rentang yang tertera gambar pemimpin DAP dan PKR sebagai bantahan terhadap penghinaan pemimpin berkenaan kepada majoriti masyarakat Melayu beragama Islam.