Wan Saiful Wan Jan SHAH ALAM – Kesempitan hidup yang dialami rakyat ketika ini adalah rentetan daripada dasar-dasar ekonomi tidak tepat yang diperkenal, sebelum ini.

Ketua Eksekutif Institusi Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas),Wan Saiful Wan Jan menyifatkan dasar-dasar tersebut mendapat terlalu banyak campur tangan pemimpin negara.

Malah menurutnya, kenaikan harga yang melanda rakyat negara hari ini memang terpaksa dihadapi dan keputusan kerajaan mengurangkan subsidi adalah tepat.

“Apa yang digariskan dalam model ekonomi baru adalah realiti yang terpaksa kita hadapi. Saya rasa ini satu-satunya jalan. Tak banyak jalan lain dah.

“Kesusahan yang kita hadapi sekarang disebabkan oleh dasar-dasar yang agak tidak tepat yang diperkenalkan oleh pemimpin kita sebelum ini, yang terlalu banyak mencampuri urusan ekonomi dan urusan pasaran,” katanya kepada Sinar Harian Online dalam satu temu bual eksklusif, hari ini.

Menurutnya, ekoran terlalu lama ‘memaksa’ harga pasaran barangan kekal pada tahap rendah, hari ini rakyat terpaksa menerima kesannya.