DBKL 
KUALA LUMPUR - Sebanyak 166,000 bantahan dikemukakan pemilik hartanah sekitar ibu kota berhubung cadangan kenaikan kadar cukai pintu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) setakat ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, bantahan itu diterima dalam pelbagai bentuk termasuk melalui surat, faks dan daripada anggota Parlimen berkenaan.
  
Daripada jumlah itu, ada juga bantahan berulang yang diterima daripada pemilik sama, katanya pada sidang media di sini hari ini.
  
"Proses bantahan akan berterusan sehingga 31 Mac. Jika bantahan itu masih berterusan, DBKL akan memikirkan kewajaran untuk ia (tempoh) dilanjutkan," katanya.
  
Media sebelum ini melaporkan cukai pintu itu dinaikkan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) setelah 21 tahun tiada kenaikan dibuat.