Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah
PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah umat Islam di negara ini perlu sentiasa berusaha memperkukuh persaudaraan serta mengharmonikan pandangan yang berbeza dalam menilai sesuatu perkara.

Seri Paduka bertitah perpaduan wajib dipupuk dan diperteguh agar umat Islam tidak dipandang rendah oleh musuh yang sentiasa berusaha meneruskan agenda mereka yang tersendiri.
  
“Akhir-akhir ini, beta melihat terdapat segelintir penganut Islam yang mudah terpengaruh dengan fahaman luar dan asing yang dibawa masuk dalam masyarakat kita. Fahaman ini didapati ada yang tidak sesuai dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan amalan lazim umat Islam negara ini.

"Dari satu sudut, perbezaan pandangan atas dasar perbezaan mazhab yang berlainan dianggap isu yang remeh dan kecil kerana hanya melibatan isu cabang dan ranting," titah baginda samasa merasmikan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1435H/2014M di Masjid Putra di sini hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
 
Sambutan bertemakan 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, para menteri Kabinet dan perwakilan negara luar.