Jumaat, 9 Mei 2014

Bukan pertandingan siapa paling kuat tolak hudud

KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menggesa semua ahli Parlimen tidak terperangkap dengan sindrom Islamofobia yang kini sedang menjadi alat menyekat apa sahaja unsur yang beraliran Islam.

Bagi Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid, MCA dan Gerakan yang meraih kesempatan untuk menyerang dan mencabar DAP untuk mengugut PAS dalam isu hudud adalah suatu politik kebudak-budakan.

“Ternyata dalam isu ini kematangan politik hampir dipupuskan oleh mereka yang cuba menjuarai isu antihudud, seolah-olah ada suatu agenda pertandingan, siapa paling kuat menolak hudud sedang diperlihatkan dalam medan politik negara,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, sebagaimana di bawah.

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) merumuskan reaksi panik yang ditampilkan terhadap hudud oleh MCA dan Gerakan yang menjadi rakan anggota Umno dalam BN, jelas membuktikan Umno gagal memahamkan mereka mengenai undang-undang jenayah syariah walaupun setelah selama 56 tahun negara ini merdeka.

Semua anggota BN nampaknya tidur sekelambu tetapi tidak dibenarkan bermimpi dengan mimpi yang sama. Akhirnya akibat bersekutu tetapi sarat dan tebal dengan perasaan asobiyah menyebabkan prasangka bersarang apabila isu hudud ditampilkan.

Oleh itu, tidak terlalu mengejutkan reaksi mereka sedemikian rupa sehingga pandangan negatif ditunjukkan kepada cadangan PAS mahu membentang bil persendirian mengenai hudud pada sidang Parlimen yang akan datang.

Malah sikap negatif terhadap hudud yang diperlihatkan oleh pemimpin Umno sendiri selama inilah telah menyemaikan persepsi negatif malah fobia terhadap hukum Islam dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Ironinya dan malang sekali, walaupun undang-undang jenayah sivil yang dirangka berasal dari penjajah itu terbukti tidak berkesan dan ada kalanya menzalim mangsa dan yang tertuduh, ia tetap pula diterima dan diguna pakai.

Undang-undang jenayah sivil yang berasal dari common law British itu sendiri penuh dengan ketidakadilan, namun oleh kerana ia bukan dari Islam, orang bukan Islam dan kelompok sekular terdiri dari kalangan orang Islam sendiri boleh menerimanya tanpa bantahan.

Padahal undang-undang jenayah syariah yang meliputi penjagaan akal, nyawa, harta, agama dan keturunan itu cukup menjamin keadilan dan dan terbukti boleh mengekang perlakuan jenayah.

Kesangsian terhadap hukum hudud adalah dari prejudis yang telah disemai oleh pemimpin Umno sendiri dengan melabelkannya  hudud PAS. Pada hal hukum hudud itu digubal melalui pembentangan dan kelulusan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu dan Kelantan.

Jika ia benar bukan hukum hudud seperti yang dikehendaki Islam kenapa ia tidak ditegur sendiri oleh badan tertinggi agama di negeri masing-masing iaitu Majlis Fatwa Negeri.

Kami melihat sikap bebal dan dangkal yang cuba diprovokasi oleh MCA dan Gerakan dengan mengeluarkan kenyataan yang menghina hukum hudud hanya menunjukkan bahawa ia terbit dari prejudis politik dan serangan pemimpin Umno yang menentang ia dibentangkan di Parlimen.

Apakah ruang yang lebih baik untuk diperdengarkan usul hukum hudud kalau tidak di Parlimen? Soal ia akan diterima melalui undi ahli Parlimen atau tidak adalah soal kedua. Yang penting Parlimen tidak boleh menghalang ianya dibentang dan dibahaskan.

MCA dan Gerakan menunjukkan taringnya dan membayangkan mereka sanggup memikir semula keanggotaannya dalam BN jika Umno menyokong bil persendirian (private bill) yang akan dibentang oleh wakil rakyat dari Kelantan.

Kami berpendapat bahawa adalah menjadi suatu tindakan yang tidak demokratik jika mana-mana pihak sama ada dalam BN atau Pakatan Rakyat tidak memberi peluang ia dibentang buat kali pertamanya.

Jika semua rang undang-undang bukan Islam dibenarkan dibentangkan apakah yang menjadi terlalu bermasalah untuk membenarkan undang-undang Islam dibentangkan di Parlimen.

Kami menggesa semua ahli Parlimen tidak terperangkap dengan sindrom Islamofobia yang kini sedang menjadi alat menyekat apa sahaja unsur yang beraliran Islam.

MCA dan Gerakan yang meraih kesempatan untuk menyerang dan mencabar DAP untuk mengugut PAS dalam isu hudud adalah suatu politik kebudak-budakan.

Ternyata dalam isu ini kematangan politik hampir dipupuskan oleh mereka yang cuba menjuarai isu anti hudud. Seolah-olah ada suatu agenda pertandingan, siapa paling kuat menolak hudud sedang diperlihatkan dalam medan politik negara.

Saling mencabar dan menujukkan keberanian menolak hudud kini sedang dipamerkan oleh parti yang hanya berkepentingan politik bukan menjaga keselamatan awam daripada jenayah yang kini gagal dibendung oleh undang-undang sekular yang digunapakai sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA