Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mempersoalkan perbezaan persepsi dalam sistem pendidikan Malaysia dalam pengamatan kerajaan dan badan antarabangsa.


Beliau memberi contoh laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) yang mencerminkan keadaan yang membimbangkan dalam sistem pendidikan Malaysia.


"Pada tahun 2011, Laporan TIMMS melaporkan kejatuhan kedudukan Malaysia untuk subjek Matematik iaitu dari 16 (1999), 10 (2003), 20 (2007), dan 26 (2011) sementara subjek Sains pula ialah 22(1999), 20 (2003), 21 (2007), dan 32 (2011).


"Kejatuhan markah purata bagi subjek Matematik iaitu 519 (1999), 508 (2003), 474(2007) ke 440 (2011); jatuh 79 mata sementara subjek Sains iaitu 492 (1999), 501 (2003), 471 (2007) ke 426 (2011).


"Yang menghairankan adalah kontradiksi yang diperlihatkan menerusi Laporan Lembaga Peperiksaan - rekod pelajar yang mendapat A dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut semakin meningkat dari tahun ke tahun di dalam peperiksaan PMR. Apakah yang sebenarnya berlaku?" kata beliau dalam ucapan aluan di kongres pendidikan NGO 'Teach For The Needs' (TFTN) hari ini.