Bagi perdana menteri, tidak membayar cukai dianggap pengkhianatan kepada negara.

Bagi NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) pula, boros harta awam juga satu pengkhianatan.

Begitu Presiden ISMA Abdullah Zaik Abd Rahman mengingatkan Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataannya hari ini.

NONEIni kerana, kata Abdullah Zaik (kanan), pemerintah diamanahkan untuk menguruskan hal ehwal umum berdasarkan syariat.

Malah, hujahnya, hasil cukai serta pendapatan negara adalah harta awam yang harus diuruskan secara berhemah.

"Jangan mengkhianati kepercayaan rakyat yang telah mengundi BN atau Umno sebelum ini.
"Gunalah kebijaksanaan supaya dapat menguruskan harta negara dengan baik.
"Ingatlah bahawa kebijaksanaan bukan semata mata soal teknikal pengurusan tetapi juga melibatkan budi pekerti dan hati perut," katanya.

Najib semalam dilaporkan berkata, pihak yang mengelak daripada membayar cukai boleh dianggap melakukan pengkhianatan kepada negara kerana kewajipan itu merupakan satu daripada semangat patriotisme.
Beliau juga berkata, tiba masanya kerajaan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 kerana ia untuk kebaikan rakyat dan masa depan negara.