Abdul Fattah Harun
KOTA BHARU – Tiada istilah profesional mahupun ulama yang perlu menjadi perbezaan dalam kepimpinan Pas terutamanya untuk memenuhi kelayakan memegang sesuatu jawatan.

Veteran Pas, Abdul Fattah Harun berkata, kesemua ahli Pas boleh diletakkan dalam golongan ulama dan mampu bertanding mana-mana jawatan, namun ia terletak pada individu itu sendiri sama ada beliau layak atau tidak untuk memegang jawatan yang dipilih.

“Tuan Guru Nik Aziz ada menyatakan sebelum ini semua ahli Pas adalah golongan ulama, maka kita sudah sedia maklum dengan perkara tersebut, cuma pada saya, semua orang profesional, maka ia tiada beza.

“Seorang ulama memerlukan kriteria yang jelas cukup ilmu, meninggalkan segala larangan ALLAH SWT, memimpin masyarakat dengan betul, maka setiap pemimpin yang ada harus menilai diri sendiri sama ada layak atau tidak untuk memegang sebarang jawatan yang dipertandingkan,” katanya.

Beliau diminta mengulas isu ahli Pas yang dipecahkan kepada dua golongan profesional dan ulama yang mana turut dikaitkan dengan pencalonan jawatan tertinggi parti tersebut menjelang Muktamar Pas ke-59, November ini.