Tuan Ibrahim Tuan Man KEHANGATAN Muktamar Pas ke-59 sudah terasa bahangnya terutama apabila jawatan timbalan presiden mula menjadi "rebutan" walaupun calon yang dikatakan akan bertanding tidak mengumumkan sebarang keputusan.

Parti itu juga dalam tempoh terdekat ini bakal diuji dalam sebuah Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Limau, Kedah - kerusi yang boleh dianggap kubu kuat Pas.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian Online, JAMILAH HAMZAH bersama-sama Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim bagi mengupas kedua-dua acara penting ini kepada Pas.


SINAR HARIAN ONLINE: Sejauh manakah Datuk melihat perkembangan Muktamar kali ini?

TUAN IBRAHIM:
Mesyuarat agung di kawasan telah pun berjalan, jadi setakat ini kita sedang menghadapi mesyuarat agung di peringkat kawasan dan negeri-negeri.

Saya tengok keseluruhannya 99 peratus berjalan dalam keadaan yang baik dalam suasana ukhwah, berjamaah dan sebagainya.

Memang ada satu dua kawasan yang ada sedikit masalah iaitu masalah teknikal dalam peraturan dan perlembagaan parti yang kita kena patuhi. Jadi jika ada perlanggaran sikit dengan peraturan kita minta diadakan mesyuarat agung semula supaya ia berjalan dengan baik.

Kita tidak terima aduan yang melalui duit, rasuah dan sebagainya.

Walaupun kita benarkan parti berkempen, namun setakat ini tengok kempen yang tak terlalu agresif, hanya yang berlaku kempen dalam Facebook. Saya ibaratkan seperti orang tengok bola, penonton lebih pandai daripada pemain.

Banyak aduan yang dikeluarkan tapi saya ingat itu perkara biasa dalam parti.


SINAR HARIAN ONLINE: Muktamar kali ini juga menggunakan garis panduan baru, iaitu calon dibenarkan promosi diri, jadi apa pandangan Datuk?

TUAN IBRAHIM :
Ada dua perkara, di peringkat Pusat memang setuju garis panduan ini. Kita adakan garis panduan ini supaya Muktamar berjalan ikut garis panduan.

Soal yang kedua itu mungkin soal mengajak debat di mana meletakkan calon di atas pentas untuk dinilai.

Saya fikir ada yang setuju, OK, tetapi apabila kita letak calon berdebat atas pentas sesama sendiri yang nak menilainya hanya 100 – 200 orang, ia tidak adil kerana yang datang pun bukan daripada pewakilan.

Saya lebih setuju calon kita dinilai daripada kemampuan seorang calon bukan hanya duduk atas pentas, setengah jam atau sejam di atas pentas, tetapi kita nilai latar belakangnya, tengok apa dia buat, pengorbanan dan perjuangannya.

Itulah yang perlu dinilai, bermakna penilaian itu bersifat berterusan tidak hanya dalam hanya tempoh masa pedebatan. Itu yang memberi makna sepenuhnya kepada penilaian.