Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa Wan Muhammad Azri Wan Deris memang penulis blog pro-Umno, Papagomo.

NONESelain diperintah membayar RM500,000 dalam satu kes fitnah, Wan Muhammad Azri turut berdepan dengan prosiding menghina mahkamah berhubung satu lagi tulisannya yang lain yang mengaitkan hakim yang mendengar kes dan dianggap memudaratkan badan kehakiman.

Wan Muhammad Azri (kanan) sebelum ini menafikan bahawa beliau adalah penulis blog kontroversi itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera berkata Wan Mohammad Azri berbohong kerana walaupun membuat penafian tersebut ketika memberi keterangan, tetapi penulis blog berusia 30 tahun itu, dalam pernyataan pembelaannya, mengaku dia adalah Papagomo dan membela diri atas alasan membuat komen yang adil.

Beliau memutuskan bahawa penulis blog itu tidak menyesal dengan tindakannya seperti yang dipaparkannya dalam perbicaraan kes fitnah itu.

Di samping itu, semasa perbicaraan, seorang penulis blog, yang memberi keterangan sebagai saksi, mengaku mengenali Wan Muhammad Azri sebagai Papagomo apabila mereka bertemu dalam satu sidang penulis blog pada tahun 2009. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM500,000 kepada ahli perniagaan Abdul Razak Mohd Noor berhubung penerbitan artikel berunsur fitnah dalam blognya.
  
Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam membuat keputusan itu selepas mendapati Abdul Razak berjaya membuktikan perkataan-perkataan fitnah dalam artikel yang ditulis oleh Wan Muhammad Azri itu merujuk kepadanya, dan sebenarnya memfitnah beliau.
  
azlanVazeer Alam memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar gantirugi am sebanyak RM200,000 dan gantirugi teladan RM300,000 kepada Abdul Razak, serta menetapkan kos guaman sebanyak RM50,000, selain membenarkan permohonan injunksi supaya Wan Muhammad Azri dihalang daripada terus menyiarkan kata-kata fitnah itu.
  
Dalam penghakimannya, Vazeer Alam berkata Abdul Razak selaku plaintif berjaya membuktikan Wan Muhammad Azri yang menerbitkan artikel itu, meskipun defendan dalam keterangannya menafikan beliau adalah pemilik blog yang dikenali sebagai 'Papa Gomo'.
  
Beliau berkata dalam kes ini, plaintif telah memanggil saksi pertamanya iaitu Mohd Fauzi Mohd Azmi yang mempunyai blog dikenali sebagai 'Perisik Rakyat' dan dalam keterangan saksi itu menyatakan beliau dapat mengecam defendan setelah defendan sendiri memperkenalkan dirinya sebagai 'Papa Gomo' ketika menghadiri satu persidangan bloggers di Lake View Garden, Subang Jaya pada 16 Mei 2009.
  
"Saksi itu, yang turut diperkenalkan kepada seorang blogger lain yang dikenali sebagai 'Parpukari' semasa persidangan itu berkata beliau telah mengambil gambar defendan dan 'Parpukari' dan gambar itu dikemukakan sebagai bahan bukti dalam kes ini," katanya.
  
Vazeer Alam berkata mahkamah percaya gambar yang diambil adalah gambar mereka walaupun muka mereka tidak dapat dilihat dengan jelas kerana mereka cuba  melindung separuh daripada wajah mereka dengan tangan.
  
"Apabila mahkamah membandingkan ciri-ciri wajah muka dalam gambar itu dengan ciri-ciri defendan semasa hadir di mahkamah, saya dapati ianya sama dan jelas menunjukkan bahawa defendan yang dipaparkan dalam gambar itu," katanya.