Rasuah: Doktor pangkat kolonel tidak mengaku salah
SHAH ALAM - Seorang doktor berpangkat kolonel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan iaitu meminta dan bersetuju menerima suapan berjumlah RM700,000 daripada pemilik sebuah syarikat pembekal perubatan swasta.
  
Kolonel Dr R Kunaseegaran, 50, Ketua Makmal Patologi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Wangsa Maju di sini, didakwa melakukan kesalahan itu sebagai upah kerana mencadangkan Syarikat RAZ Medical Supplies Sdn Bhd, B & S Enterprise dan Caremed Global Sdn Bhd menjadi pembekal ubat-ubatan dan perkakas pakai buang perubatan bagi tahun 2013 untuk HATTM.
  
Bagi pertuduhan pertama, Kunaseegaran didakwa secara rasuah meminta wang tunai RM700,000 daripada pemilik RAZ Medical Supplies, Abdul Razar Abdullah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada telefon bimbit milik tertuduh pukul 11.58 pagi, 29 Ogos lepas.
  
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa bersetuju menerima wang tunai berjumlah RM700,000 daripada Abdul Razar di hadapan Empire Gallery Subang Jaya dekat sini pada 5.15 petang, 3 September lepas.