Mohd Bakri Zinin 
KUALA LUMPUR – “Saya tidak mahu  komen,” demikian reaksi Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin ketika ditanya berhubung kenyataan Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail yang menganggap kebergantungan polis  terhadap Akta Ordinan Darurat  (EO)  kerana ‘ketagih’.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Kempen Pencegahan Jenayah Siber di Universiti Lim Kok Wing, di sini, semalam.

Dipetik dari portal berita sebelum ini. Abdul Ghani jelas tidak bersetuju jika polis masih berharap agar  akta seperti Ordinan Darurat diadakan semula.

Malah katanya,  undang-undang sedia ada termasuk Kanun Keseksaan  boleh digunakan untuk menahan dan mendakwa pesalah

Menurut Abdul Ghani lagi, seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan cara terbaik menguruskan suspek adalah melalui pendakwaan di mahkamah.

Sementara itu, mengulas mengenai Ops Cantas yang dilancarkan seluruh negara, Mohd Bakri berkata ia terbukti dapat mengurangkan jenayah kekerasan dan akan diteruskan sehingga pihaknya benar-benar berpuas hati.

Menurutnya, masyarakat perlu memberi keyakinan kepada polis untuk membanteras kes jenayah berat yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.

“Beri keyakinan anda kepada kami (polis) untuk melaksanakan tanggungjawab ini,” katanya.