Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 
PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengumumkan senarai 49 pertubuhan haram, termasuk kongsi gelap esok, kata menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata senarai yang mengandungi nama pertubuhan, lokasi dan aktiviti yang terlibat pertubuhan haram itu akan diumumkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi pada satu sidang media.

“Pengazetan nama pertubuhan-pertubuhan haram telah saya tanda tangani.

“Mereka (pertubuhan-pertubuhan haram) tidak boleh menggunakan nama, lambang, menggunakan premis atau bergerak dalam satu pasukan atas nama atau simbol yang disenaraikan itu,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Poland, Adam Waclaw Jelonek di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata pertubuhan-pertubuhan haram ini boleh dikenakan denda maksimum RM15,000 dan penjara lima tahun.
Ahmad Zahid berkata langkah mendedahkan senarai pertubuhan haram kepada umum telah mendapat sokongan NGO termasuk Majlis Peguam dan pertubuhan-pertubuhan pencegahan jenayah.