mangsa ditembak  
Mangsa dipercayai dibunuh berdasarkan kesan tembakan di bahagian dada dan bahu kiri. Gambar kecil: Mohamad Lutpi
 
KUALA TERENGGANU - Polis percaya pemilik restoran nasi kukus di Dungun, yang ditemui mati di hadapan kedai makan miliknya semalam, ditembak dari jarak jauh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan berkata, setakat ini polis telah mengambil keterangan daripada anggota keluarga dan pekerja pemilik restoran itu.

 "Daripada keterangan yang diambil, tidak ada seorang pun yang melihat atau mendengar tembakan dilepaskan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian awal pagi semalam, mayat pemilik restoran nasi kukus di Kampung Cacar, Mohamad Lutpi Mansor, 50, ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah dengan dua kesan tembakan di dada dan bahu, di tempat letak kereta di hadapan restorannya pada pukul 7.30 pagi.