senjata api
KUALA LUMPUR - Meningkatkan bilangan anggota polis dan mempertimbangkan pembelian peralatan baru seperti litar kamera tertutup (CCTV) sahaja, tidak akan menyelesaikan kes jenayah berat membabitkan senjata api di negara ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata ini kerana keutamaan terlebih dahulu harus diberi kepada usaha memperketatkan pengawasan di sempadan.

"Kita lihat bajet untuk menambahkan bilangan anggota polis dan kemudahan anggota-anggota itu banyak diberikan oleh kerajaan sebelum ini, namun jenayah berat seperti tembak-menembak tetap juga berlaku.

"Ia menunjukkan ada ruang yang perlu diperbaiki dan sebagai contoh pembelian senjata api dari negara jiran bagaimana ia boleh lolos ke negara ini...kita kena fikir juga bagi mempertingkatkan usaha membanteras," katanya kepada pemberita sebagai mengulas kejadian tembak yang sering dilapor kebelakangan ini termasuk melibatkan individu berprofil tinggi.