Tiga kes tembakan berlaku semalam, termasuk pembunuhan Hussain Ahmad Najadi, pengasas Bank Pembangunan Arab-Malaysian di tengah-tengah Kuala Lumpur pada waktu siang hari.

Ia membuktikan bahawa jenayah yang semakin meningkat bukan lagi persepsi tetapi bukti kegagalan polis dan keperluan mendesak untuk keluar dari obsesi terhadap musuh politik BN.

Dua kes tembakan lain menyebabkan seorang terbunuh di Ipoh dan cedera di Bukit Mertajam.
Sebelum ini polis menyalahkan pemansuhan Ordinan Darurat yang membenarkan banyak samseng dibebaskan sehingga dikatakan berlakunya peningkatan jenayah bunuh kalangan samseng.

Pihak polis tidak lagi boleh menyalahkan pemansuhan Ordinan Darurat terhadap pembunuhan Hussain kerana beliau bukan penjenayah, tetapi seorang tokoh bank antarabangsa yang dihormati.
Kes pembunuhan terbaru ini mengejutkan rakyat Malaysia yang menyedari betapa serius kegagalan kerajaan persekutuan untuk memastikan ketenteraman dan keselamatan awam, terutamanya kes tembakan Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan, di Bahau Sabtu lalu - yang di siang hari.

Kes tembakan terhadap R Sri Sanjeevan ini pula dikaitkan hubungan polis dengan kongsi gelap, yang menyebabkan kredibiliti dan integriti pihak polis merosot teruk.
Sudah tiba masa untuk kerajaan persekutuan membenarkan polis memberi tumpuan kepada matlamat terasnya membanteras jenayah dan tidak boleh lagi dipergunakan sebagai alat politik BN.

Berapa polis di Cawangan Khas?


Statistik tidak pernah berdusta dan dalam jawapan bertulis kepada ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching bulan ini, menteri dalam negeri berkata:

"Sejumlah 112,583 anggota polis berpakaian seragam, 10,150 (9 peratus) berada dalam Jabatan Siasatan Jenayah, 4,224 (3.8 peratus) dalam Siasatan Jenayah Narkotik dan 1,663 (1.4 peratus) di Jabatan Siasatan Komersial."