Pengerusi JKK Kampung Beris Lampu Yaakob Kadir menafikan pemberian wang kepada pengundi luar sewaktu berlangsungnya pilihan raya kecil DUN Kuala Besut adalah satu bentuk rasuah, tetapi menegaskan ia "insentif kepada pengundi luar".

"Ia bukan rasuah, tapi insentif kepada pengundi luar sebab pulang untuk mengundi (dalam pilihan raya Kuala Besut). Kalau rasuah, dia buat secara sembunyi-sembunyi.

"Kita beri kepada semua, tak kira mereka itu pangkah BN atau PAS. Orang luar kalau balik, pasti dia akan sokong PAS," kata ketika ditemui Malaysiakini di rumahnya pagi ini.

Yaakob berkata beliau diarahkan oleh parti untuk beri 'insentif' itu di perkarangan rumahnya "untuk mengelak suasana sesak jika buat di tempat terbuka"

Beliau mengulas insiden pengundi yang dilihat beratur untuk mendapatkan wang tunai di luar rumah sekurang-kurangnya dua ketua kampung di DUN Kuala Besut kelmarin, kononnya untuk elaun perjalanan mereka.

Pengundi berkenaan dilihat di kediaman ketua Kampung Lay Out dan ketua Kampung Beris Lampu dalam daerah mengundi Tok Saboh.

Beberapa pengundi yang ditemui Malaysiakini berhampiran pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Nangka dan di luar rumah ketua kampung Lay Out - kebanyakan mereka enggan dinamakan - wang itu untuk pengundi yang pulang dari luar untuk mengundi.