Selebriti terkenal Artis Abby Abadi hari ini melelong baju kurung dan tudung miliknya bagi mengumpul dana untuk disumbangkan jentera pilihan raya kecil PAS di DUN Kuala Besut pada 24 Julai ini.

Baju kurung cekak musang hijau dengan hiasan berkilauan di bahagian leher dan dada serta bersulam di bahagian lengan itu dijual dalam lelongan di Karnival "Jom Bersama Che Long" anjuran PAS di Kampung Baharu, Kuala Besut.

NONEIa dimenangi pembida yang juga bekas exco Pemuda PAS Kelantan Dr Rosli Alani Abd Kadir dengan nilai RM1,010.

Dr Alani pada mulanya bersaing dengan seorang pembida perempuan yang saling menawarkan harga tertinggi bagi mendapatkan baju kurung tersebut.

Akhirnya, Dr Rosli menawarkan harga RM1,010 untuk membolehkan beliau memiliki baju kurung tersebut sekaligus menutup peluang pesaingnya selepas kiraan dibuat.

Pengerusi majlis bagi acara tersebut meminta Dr Rosli naik ke pentas untuk mengambil baju kurung tersebut dan berseloroh berkata:

"Nak beri kepada isteri yang mana, tak tahulah," seloroh pengerusi yang mengundang gelak ketawa kira-kira 500 pengunjung yang hadir.