Letupan kecil bukan bom berhampiran ibu pejabat PKR
Pasukan forensik sedang melakukan pemeriksaan di lokasi berlakunya letupan berhampiran Pejabat PKR.
PETALING JAYA – Polis percaya letupan berhampiran Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Damansara malam tadi sengaja dilakukan pihak tertentu   untuk menimbulkan kegusaran kepada orang ramai sempena Pilihan Raya Umum ke -13 yang bakal menjelang esok.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, kejadian jam 9.35 malam itu walau bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kerosakan serius dan kecederaan.

Menurutnya hasil siasatan ditempat kejadian , pihaknya menemui sebuah telefon bimbit bersama  bateri serta beberapa peralatan seperti spanar berhampiran  kotak janakuasa eletrik milik  TNB yang terletak 50 meter dari pejabat parti itu.

“Beberapa saksi mendakwa terdengar bunyi satu letupan ketika kejadian, namun  bahan letupan yang digunakan tidak menyebabkan letupan besar dan berkemungkinan suspek hanya menggunakan mercun ,”katanya ketika ditemui dilokasi kejadian,semalam.