SHAH ALAM 2 APRIL : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor mengakui
terdapat pelanggaran undang-undang oleh agen Umno-BN dalam pendaftaran
rakyat Malaysia sebagai pengundi tanpa persetujuan mereka.

Bagaimanapun tambah Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, SPR
Selangor berkata tiada apa-apa yang boleh dilakukan walaupun mereka
sedar sebuah kesalahan telah dilakukan.
Charles mendakwa kesalahan itu diakui Pengarah SPR Selangor,
Dzulkifli Abdul Rahman dalam satu pertemuan dengannya selama 45 minit di
pejabat SPR Selangor hari ini.
Ujar Charles, bahawa seorang penolong pendaftar Umno, Hishammudin
Kassim telah mendaftarkan ramai pengundi yang meragukan apabila
memasukkan nama warga Malaysia yang menetap di luar negara yang tidak
pernah berdaftar sebagai pengundi.
“Saya ada bertanya kepada Dzulkifli ada berapa yang telah didaftarkan
oleh penolong pendaftar (Hishammudin) yang telah dipecah-pecahkan, dan
dia berkata adalah ‘banyak’ dan beratus-ratus.
“Selepas itu saya bertanya lagi berapa yang didaftarkan oleh
Hishammuddin, dan dia berkata ‘banyak’. Tetapi dia faham sesuatu
kesalahan telahpun berlaku ada pelanggaran undang-undang,” katanya.
Bagaimanapun menurut Charles, Dzulkifli berkata SPR tidak boleh
mengeluarkan nama dari daftar pemilih kerana Seksyen 9(a) Akta Pilihan
Raya 1958, melarang nama dibuang dari daftar pemilih yang telah
diwartakan.
“Mereka berselindung di sebalik Seksyen 9(a),” kata Charles yang
mendakwa mereka mengakui undang-undang dilanggar tetapi tidak mengambil
sebarang tindakan.