Anthony Loke SHAH ALAM - Sambil memberi jaminan akan mempertahankan kepentingan dan keistimewaan orang Melayu, DAP, komponen Pakatan Rakyat (PR) berkata, jawatan perdana menteri akan disandang oleh kalangan orang Melayu jika perikatan tiga parti itu diberi mandat untuk membentuk kerajaan pusat.

Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke berkata, ada pihak yang mendakwa PR akan mengutamakan golongan Cina jika pembangkang menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 adalah tidak benar.

Beliau juga berkata, kaum Melayu tidak akan hilang kuasa tetapi yang bakal kehilangan kuasa ialah Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu jelas Loke, rakyat dan kepimpinan PR mengutamakan pemimpin yang bersih dan adil, yang tidak ada pada pemimpin BN.

"Orang Melayu tidak akan hilang kuasa tetapi pemimpin kerajaan BN yang akan hilang kuasa.

"... tak ada masalah kita untuk orang Melayu menjadi Perdana Menteri, tapi kita mahukan orang Melayu yang bersih dan adil," katanya pada Majlis Munajat Selamatkan Malaysia dan Forum Lahad Datu Rakyat Berhak Tahu di sini malam tadi.