Datuk Seri Hishammuddin PUTRAJAYA - Dakwaan kononnya akan berlaku upacara membakar Bible versi bahasa Melayu di Butterworth Ahad ini adalah tidak berasas dan sengaja digembar-gembur pihak tertentu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dapat mengambil pendekatan rasional dan bertenang.

"Menerusi makluman yang diterima daripada Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) sendiri dan setelah ditanya kepada tuan punya badan, mereka menafikannya (upacara membakar bible)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mengambil mudah dan sentiasa memantau perkara itu.

"Sesiapa yang menyebarkan berita palsu itu akan didedahkan. Saya berjanji dan beri jaminan perkara yang ada asas, kita akan teliti dan siasat," katanya.