SPR KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia yang tinggal di Selatan Thailand, Singapura, Brunei dan wilayah Kalimantan di Indonesia perlu pulang ke negara ini untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, golongan terbabit (termasuk yang tinggal di wilayah Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun di Selatan Thailand) tidak layak menggunakan kemudahan mengundi secara pos seperti yang ditawarkan untuk rakyat Malaysia yang menetap di luar negara.

Jelasnya perkara itu merupakan satu daripada tiga syarat yang ditetapkan SPR bagi membolehkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara pada hari pengundian PRU-13 menggunakan kemudahan undi pos.

Dua syarat lain adalah mereka mestilah merupakan pemilih berdaftar dan pernah berada di Malaysia atau kembali ke negara ini tidak kurang dari 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa.