Himpunan Kebangkitan Rakyat hanya dibenar membawa hadirin tidak melebihi 30,000 orang pada Sabtu ini meskipun penganjur sebelum ini dilaporkan akan menghimpunkan hampir sejuta orang.
Stadium Merdeka
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Merdeka Heritage Trust, pemilik Stadium Merdeka berkata, pihaknya tiada halangan terhadap permohonan Jawatankuasa Himpunan Kebangkitan Rakyat untuk acara yang akan diadakan pada Sabtu ini dari jam 2 hingga 5 petang.

"Bagaimanapun, permohonan tersebut adalah tertakluk kepada syarat- syarat penggunaan stadium yang telah ditetapkan.

"Pihak Jawatankuasa Himpunan Kebangkitan Rakyat perlu mematuhi terma-terma dan syarat-syarat yang dikenakan terutamanya memastikan jumlah pengunjung/peserta tidak melebihi 30,000 orang," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, syarat ini mengambil kira kapasiti stadium tersebut yang hanya boleh menampung seramai 30,000 orang bagi memastikan struktur dan harta benda Stadium Merdeka yang diwartakan sebagai ‘hartanah warisan kebangsaan’ sentiasa dijaga dan dipulihara.

Stadium Merdeka merupakan stadium sukan di Kuala Lumpur. Ia mula dibina pada bulan Julai 1956.