Keratan akhbar Sinar Harian semalam. SHAH ALAM – Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) didakwa cuai dalam penyelenggaraan rumah pam Wangsa Maju yang dianggap penyebab gangguan bekalan air sekitar Kuala Lumpur, Gombak dan Ampang.

Pengerusi Jawatan Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, hasil siasatan Kerajaan Negeri mendapati kesemua lima pam termasuk dua pam dalam simpanan (standby pump) turut rosak.

Menurutnya, keraguan timbul apabila dua pam yang jarang digunakan turut rosak menunjukkan bahawa syarikat konsesi air itu gagal menyelenggarakannya dengan baik.

“Bagaimana dua standby pump yang tidak selalu digunakan boleh rosak? Ini jelas menunjukkan kecuaian Syabas dalam penyelenggaraan berkala peralatan di bawah kendaliannya.

“Kecuaian itu mengakibatkan 60,000 penduduk terpaksa berhadapan krisis air,” katanya ketika diminta mengulas mengenai krisis air yang melanda Lembah Klang sejak seminggu lalu.