Sabtu, 30 November 2013

PRU13: Akhirnya SPR akui kelemahan dakwat kekal

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam laporan bedah siasat yang dikeluarkan hari ini mengakui kelemahan melibatkan penggunaan dakwat kekal semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Dalam laporan tersebut, SPR mendedahkan mengenalpasti kelemahan dakwat kekal khususnya lambat kering sehingga terkena kertas undi dan mudah tertanggal apabila dibasuh.
"Terdapat dakwat kekal yang terkena pada kertas undi, pelaksanaan tatacara dakwat kekal tidak dijelaskan dengan terperinci.
"Dakwat kekal didapati hilang apabila dicuci dan dakwat kekal didapati lambaat kering menyebabkan terkena pada kertas undi," kata SPR dalam laporan yang diedarkan kepada media hari ini.
Bagaimanapun, SPR berkata, hasil daripada maklum balas yang diperoleh, mereka melakukan penambahbaikan dalam dua pilihan raya kecil yang berlangsung baru-baru ini.
"Berdasarkan maklum balas yang diterima pada hari pengundian, SPR membuat penambahbaikan dalam kandungan bahan dakwat, kaedah penyimpanan, penandaan pada jari daripada dicalit kepada dicelup jari telunjuk kiri pengundi dan menyediakan panduan tatacara penggunaan kepada kerani pengundian.
"Penambahbaikan ini dilaksanakan dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut dan Sungai Limau," katanya.
Kontroversi dakwat kekal menjadi pertikaian dalam PRU13 lalu selepas ia mudah ditanggalkan walaupun hanya dengan membasuhnya.
Selepas PRU13, agensi pengendali pilihan raya tersebut menerima kritikan hebat daripada pembangkang Pakatan Rakyat (PR) dan juga kumpulan sivil, malah perhimpunan besar-besaran #Black505 juga diadakan di seluruh negara bertujuan memprotes dakwaan penipuan yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa walaupun hilang majoriti undi popular.
Malah, PR mengemukakan saman pada Julai lalu ke atas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar kerana membuat kenyataan palsu berhubung dakwat kekal serta kandungan nitrat perak dalam dakwat berkenaan.

Laporan itu menggariskan tujuh kelemahan lain yang dikenal pasti, antaranya kurang latihan dan taklimat kepada petugas pilihan raya, kesukaran mengesan status bermastautin dan status muflis semasa hari penamaan calon, kesukaran melaksanakan tugas pelaksanaan sepanjang tempoh rasmi berkempen, kekurangan anggota polis pengiring semasa menguruskan kertas undi pos, kelemahan semasa hari mengundi, kekeliruan semasa proses mengira undi dan kelewatan mengumumkan keputusan pilihan raya di pusat penjumlahan rasmi undi.
Selain itu, SPR mendedahkan menerima maklum balas lain antaranya isu berbeza lokaliti walaupun tinggal dalam satu rumah, isu pembersihan daftar pemilih, isu ramai pemilih didaftarkan dalam satu alamat, isu pelantikan petugas berjawatan dalam parti dan isu kebebasan serta kredibiliti SPR.
Mesyuarat bedah siasat SPR tersebut berlangsung pada 19 Jun dan berakhir 15 Julai 2013.

Antara yang terlibat dalam proses laporan itu pegawai bertugas SPR semasa pilihan raya, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

1 ulasan:

  1. inilah dia suruhanjaya cap ayam yg dilantik oleh kerajaan cap ayam......dah buat baru buat kajian......mcm haramjadaaaaah jer............

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA