Banyak orang yang bertanya kenapa Parlimen belum dibubarkan sedangkan tarikh 9 Mac 2013 sudahpun berlalu. Kenapa 9 Mac? Mereka berkata pada tarikh itu usia Parlimen yang ada sekarang cukup lima tahun dan secara automatik Parlimen terbubar. Ini kerana pilihan raya umum ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008.
Tidak betul. Itulah jawabannya.
Parlimen atau Dewan-Dewan Undangan Negeri akan bubar secara automatik
bukan berasaskan tarikh pilihan raya tetapi tarikh mesyuarat
pertamanya.
Parlimen yang ada sekarang memulakan mesyuarat pertamanya pada 28 April
2008 hingga 29 Mei 2008 dan bermula pada tarikh itulah hayat lima
tahun dikira, bukan bermula dari tarikh pilihan raya umum pada 8 Mac
2008. Ini bermakna jangka hayat Parlimen sekarang berakhir pada 29
April 2013, iaitu tarikh Parlimen terbubar secara automatik. Ada yang
berpendapat pada 28 April dan ada pula yang berkata 30 April. Walau
apapun, akhir bulan April depan. Itu yang pasti.
Perkara ini jelas diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu
Fasal (3) Perkara 55 - Parlimen dibubarkan selepas lima tahun dari
tarikh mesyuarat pertama.
Perkara 55 (3) memperuntukkan ...."Melainkan jika dibubarkan terlebih
dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh
mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar."
Perkara 55 (2) pula menyatakan "Yang diPertuan Agong boleh memberhenti atau membubarkan Parlimen."
Oleh kerana perkara ini belum berlaku tetapi masih boleh berlaku, kita
tidak boleh tolak sama sekali yang Parlimen berkemungkinan dibubar
sebelum hujung bulan April. Itupun jika Yang diPertuan Agong perkenan
akan nasihat Perdana Menteri untuk berbuat demikian.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA