Jumaat, 1 Mac 2013

Rakaman video didakwa kejadian tembak menembak di Lahad Datu tersebar di Internet

KUALA LUMPUR, 1 Mac — Sebuah rakaman video yang didakwa kejadian tembak menembak di antara pasukan keselamatan Malaysia dan kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu mula tersebar di laman web YouTube.
Video berdurasi enam minit itu turut menunjukkan beberapa lelaki membawa senjata, mengenakan pakaian ala tentera yang berkemungkinan dari pihak kumpulan penceroboh bersenjata itu berlari di dalam hutan, yang mana turut kedengaran bunyi beberapa das tembakan.
Malah, video yang bertajuk “Rakaman Insiden Lahad Datu” itu turut memaparkan tiga anggota kumpulan bersenjata itu ditembak mati dengan kumpulan bersenjata itu melaungkan ‘Allahuakbar’ berulangkali.
Klip video tersebut dimuatnaik oleh blogger Yuseri Yusof, yang turut memaparkan video tersebut di blognya.
Rakaman video berkenaan boleh ditonton di: http://www.youtube.com/watch?v=xN-3_7Xfrgo
Pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan penceroboh dari Filipina itu berlaku di Kampung Tandou, 130 kilometer dari bandar Lahad Datu, dimana 10 orang dari kumpulan bersenjata telah pun menyerah diri kepada pihak berkuasa Malaysia, lapor portal berita ABS-CBN News.

Portal The Philippine Daily Inquirer pula melaporkan jurucakap Kementerian Hubungan Luar Filipina Raul Hernandez hari ini berkata Duta Malaysia Mohammad Zamri Mohammad Kassim telah bertemu dengan pihak Setiausaha Kementerian Hubungan Luar Albert Del Rosario di Manila untuk memaklumkan perkara itu.
Hernandez dilaporkan berkata kerajaan Filipina masih lagi perlu mengesahkan kenyataan jurucakap penceroboh berkenaan bahawa 10 anggotanya terbunuh.
Dua anggota komando polis Malaysia turut dilaporkan terbunuh selepas diserang menggunakan mortar. Pemilik rumah yang dirampas turut dilaporkan telah dibunuh menurut Mohammad Zamri, menjadikan jumlah kematian setakat ini 13 orang.
Empat penceroboh dan empat anggota polis turut dilaporkan cedera.
Dua penceroboh dilaporkan melarikan diri ke kawasan laut, menurut laporan ABN-CBN.
Sementara itu Del Rosario meminta agar kumpulan penceroboh tersebut diberikan akses supaya kerajaan Filipina dapat membekalkan rawatan perubatan, kata Hernandez.
Dianggarkan 180 pemberontak Filipina, termasuk 30 lelaki bersenjata menceroboh Sabah pada 9 Februari lalu dan enggan beredar, walaupun telah diarahkan oleh kedua-dua kerajaan Malaysia dan Filipina.
Mereka menegaskan lebih rela mati di Sabah dan tidak akan menyerah kalah.
Penceroboh berkenaan mula memberontak apabila beberapa pengikut Agbimuddin mahu pulang ke Filipina, menurut portal berita The Star Online Isnin lalu.
Kumpulan tersebut sebelum ini mengatakan tidak mahu pulang ke Sabah kerana mereka adalah “rakyat Kesultanan Sulu.”

1 ulasan:

  1. Kg tanduo LD tu penuh gan kelapa sawit...paparan video tersebut bukan diambil dari sana..

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA