Datuk Seri Azizan Abdul Razak.HARI ini genap sepenggal (8 Mac 2008-2013) Kedah ditadbir kerajaan Pakatan Rakyat (PR). Dalam tempoh lima tahun, pelbagai pembaharuan dan polisi diperkenal bagi membezakan pentadbiran kerajaan terdahulu dengan PR, bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Setelah lebih 50 tahun Kedah ditadbir Barisan Nasional (BN), tsunami politik 2008 menyaksikan kebangkitan PR di Kedah, dan dalam masa terdekat ini, kuasa rakyat sekali lagi akan menentukan parti mana layak untuk terus terajui Kedah. Wartawan Sinar Harian, Roslinda Hashim berkesempatan berkongsi suka duka sepanjang tempoh peralihan kuasa itu yang disifatkan tarikh keramat di Kedah.


Apa kesimpulan yang dapat dirumuskan daripada kejayaan pentadbiran sepenggal PR di Kedah?

Kerajaan PR sudah laksana perubahan yang terbaik untuk rakyat Kedah dalam tempoh sepenggal ini. Kita berjaya beri keselesaan kepada rakyat dengan memberi keyakinan bahawa walaupun kita tidak pernah memerintah, tidak timbul kelainan drastik atau negatif. Malah kita mampu mentadbir dengan baik berdasarkan konsep telus selain memperkenalkan polisi yang adil.


Bagaimana penerimaan kakitangan kerajaan berbanding di awal pengambilalihan?

Saya akui antara kunci kejayaan ialah kerjasama daripada kakitangan kerajaan. Saya tidak amalkan diskriminasi atau pinggirkan kakitangan terdahulu, kita hormati tugas mereka sebagai kakitangan kerajaan dan konsep keterbukaan saya disenangi, walaupun ada segelintir yang masih taat kepada kerajaan BN sebelum ini.


Malah saya tidak guna kuasa politik untuk mengongkong mereka, saya bagi kebebasan untuk mengikuti fahaman politik masing-masing. Saya juga tidak guna tenaga mereka untuk kepentingan politik PR, termasuk menekan mana-mana kakitangan yang enggan menyokong PR.

Ini kerana saya hormati dasar demokrasi. Ada sebahagian tidak senang dengan sikap liberal saya ini dan menyebabkan mereka kurang beri kerjasama pada kerajaan PR. Ada pula yang marah bila saya mesra pembangkang (BN), hingga timbul macam-macam spekulasi.

Mungkin sebab sudah lama bergelar wakil rakyat dan ketua pembangkang sebelum ini, menyebabkan saya mudah mesra dengan semua pihak, termasuk kawan dan lawan.


Bagaimana dengan cubaan menggulingkan kerajaan, adakah masih wujud atau ia sekadar wujud di awal pengambilalihan?

Pentadbiran Kedah lancar sehingga kini, walaupun pada peringkat awal, ada beberapa cabaran politik hasil dari permainan kotor politik pihak tertentu yang cuba gulingkan kerajaan PR Kedah. Pelan yang dirancang berlaku di Perak nampaknya tidak menjadi di Kedah kerana cubaan ‘membeli’ Adun Kedah tidak berjaya. Alhamdulillah, kita dapat atasi dan kekal memerintah hingga hampir tamat tempoh.


Apakah antara pencapaian yang dibanggakan sepanjang PR mentadbir?

Selepas PR ambil alih Kedah, kita cuba perkenalkan sistem baru untuk penambahbaikan. Antara diberi tumpuan ialah memulihkan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan melunaskan bebanan hutang kerajaan terdahulu.

Beberapa agensi kerajaan yang dianggap gagal dan tidak cekap sebelum ini dipulihkan. Penyusunan semula GLC dibuat walaupun kita mengalami kekangan kakitangan berpengalaman. Akhirnya GLC yang sakit berjaya bangkit semula dan menyumbang kepada negeri.

Keuntungan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Bina Darulaman Berhad (BDB) dan Permodalan Kedah Berhad (PKB) meningkat drastik. Saya juga mengubah mana-mana polisi kurang sesuai, antaranya Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) sebelum ini dikuasai 100 peratus bawah Menteri Besar, selepas saya ambil alih, saya tubuhkan jawatankuasa penasihat untuk beri pandangan kepada Menteri Besar kerana peruntukan banyak.

Dulu terpulang pada Menteri Besar mahu salur ke mana peruntukan itu, tetapi bagi saya, ia perlukan perubahan terutama konsep dan pelaksanaannya. 


Difahamkan Datuk Seri amat menitikberatkan sektor pendidikan hingga mahu pastikan pembinaan Kolej Universiti Insaniah tidak akan menemui jalan buntu walau diprotes banyak pihak?

Saya tahu ramai pihak tidak senang hati melihat tersergamnya kampus induk Insaniah Kuala Ketil. Kejayaan ini menjadi tamparan hebat khususnya kepada pemimpin BN kerana saya berjaya bina kampus baru dalam tempoh empat tahun, sedangkan mereka lebih 50 tahun masih menyewa rumah kedai di Mergong.

Kita juga berjaya gilap nama Insaniah di persada antarabangsa, selain kembangkan program pengajian daripada lima kepada 47. Namun saya kecewa kerana ada pihak memboikot majlis perasmian Insaniah Januari lalu, dan ini menunjukkan sikap tidak negarawan kerana apa yang kita buat adalah untuk kebaikan anak Kedah.


Apa pula pembaharuan lain yang diperkenal?

Kita juga tidak lupa untuk manfaat rakyat seperti perkenalkan skim kafalah dan bantuan kewangan kepada pelajar IPTA selain bantuan kepada guru al-Quran dan bidan kampung.

Kita juga adakan program mesra rakyat di setiap daerah untuk jalin hubungan baik antara pemimpin dan rakyat. Kerajaan negeri juga memerangi rasuah dan saya cabar dedahkan mana-mana ahli politik dalam PR dikaitkan dengan rasuah, tindakan tegas akan diambil. Ini bagi memastikan kerajaan bersih kerana pelabur atau ahli perniagaan suka kerajaan bebas rasuah.


Datuk Seri berjaya ubah wajah bandaraya Alor Setar kepada lebih ceria, dan ini antara kejayaan terbesar kerajaan PR?

Ya, kejayaan paling membanggakan saya ialah melenyapkan bangunan terbengkalai lebih 30 tahun, Plaza Tunku Yaakob kini digantikan dengan Aman Central yang giat dibangunkan.

Walaupun pada mulanya projek terbantut gara-gara ada pihak cuba gagalkan usaha mengindahkan bandaraya ini. Prinsip saya mudah sahaja, sesiapa yang mahu bangunkan Kedah, saya alu-alukan dengan syarat ada modal, pengalaman dan kepakaran. Apartmen Aman Suri berdekatan juga dalam proses pembinaan, manakala hotel lima bintang bakal menyusul. Saya bersyukur kerana tuduhan konon PR gagal membuat pembangunan kini boleh ditepis.


Tanggapan Langkawi akan berkubur apabila jatuh ke tangan PR? Apa komen Datuk Seri?

Kita sentiasa jalin kerjasama baik dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan Kementerian Pelancongan dan mana-mana agenda yang baik diteruskan. Cuma saya akan pastikan budaya setempat dan tradisi nilai-nilai Islam dikekalkan.

Saya selaku Pengerusi Bersama Lada dengan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah sering berbincang untuk kebaikan Langkawi. Ketika mula ambil alih Kedah, ada pengusaha hotel dan pelabur prejudis terhadap Pas dan buat anggapan kerajaan PR akan beri kesan negatif kepada pertumbuhan pelancongan Langkawi seperti digembar-gemburkan.

Saya bersyukur tohmahan itu berjaya ditepis, malah kerajaan negeri bawah PKB sedang menyiapkan hotel 14 tingkat di Kuah, yang dijangka beroperasi 2014. Pulau Tuba pula bakal berubah wajah apabila Maahad Tahfiz Sains Darulaman siap kelak.


Apa perancangan untuk meningkatkan ekonomi Kedah?

Antara tumpuan ialah menjadikan Kedah sebagai jelapang makanan, selain jelapang padi. Kita bangunkan projek ladang komoditi (getah dan kelapa sawit) serta ladang sejahtera yang menimbulkan kontroversi konon kita rakus gondol hutan balak.

Saya akan pastikan kedua-dua projek ini jalan serentak kerana ia bagi pulangan besar. Ladang seluas 2,000 hektar di Bukit Tangga ditanam nanas dan betik kini sudah dipasarkan ke luar negara, sebahagian pula ditinkan untuk dieksport. Lagi 1,000 ekar di Genting Charok Bunga, Pedu dibangunkan agro-tourism dan projek ini berjalan lancar.

Kita akan tanam labu manis dan kundur kerana adapermintaan tinggi. Selepas ini Kedah akan jadi pengeluar utama selepas tanaman mempelam mengeluarkan hasil.


Apakah Datuk Seri yakin pembaharuan yang dibuat mendapat sokongan rakyat, seterusnya akan diterjemahkan dalam PRU13 kelak?

Saya yakin kerana perubahan yang dibuat ketara. Malah trend sokongan jelas menunjukkan pada 2008, kita memperoleh sokongan Melayu dan menang. Kini bukan Melayu juga memihak kepada PR kerana mereka yakin dengan pentadbiran kita.

Saya tidak pernah nafi hak mereka atau diskriminasi kaum tertentu. Saya akan terus makmurkan Kedah, baiki kelemahan yang ada, terus buat penambahbaikan
dalam pentadbiran termasuk kembalikan wang rakyat untuk rakyat (bantuan).


Boleh berkongsi ramuan dan kisah politik Datuk Seri?

(Sambil ketawa kecil) Mudah saja.. kita perlu banyak bersabar. Ibarat berumah di tepi pantai, jika takutkan ombak, jangan bina rumah tepi pantai. Saya mula diserang selepas 1999.

Ketika itu macam-macam tohmahan dilemparkan termasuk di peringkat parti, ini bukan budaya Pas lagi, banyak fitnah dikaitkan dengan saya. Saya dipanggil pulang ke Kedah pada 1995 oleh Presiden Pas ketika itu, arwah Fadzil Mohd Noor untuk bantu beliau kukuhkan Pas Kedah.

Ketika itu, keadaan politik sangat teruk dan kucar-kacir, ada satu kerusi sahaja milik Pas ketika itu. Saya ditawar jadi calon Sala (Sungai Limau) ketika itu kita pembangkang, ramai tolak sebab asyik kalah.

Saya setuju dan bersama pasukan baru menstrukturkan semula kepimpinan Pas Kedah untuk bagi tumpuan PRU1999, saya diserang oleh pihak lawan dan kawan. Ketika itu, susah nak cari calon, kena pujuk baru setuju, beza sekarang bila sudah jadi kerajaan, berebut orang nak jadi calon.

Sudah lama bergelumang dalam parti, dah lali apa orang kata. Saya ni ada sikap tersendiri, tidak mudah ikut cakap orang dan jiwa kental.


Datuk Seri antara yang mengukuhkan semula Pas Kedah namun usaha itu seolah-olah tidak dihargai hingga timbul protes baru-baru ini, apa komen?

Strategi politik berbeza, ada masa pandangan ketua tidak diendahkan. Walaupun begitu, ahli ada saluran dalam mesyuarat politik atau perhubungan untuk suarakan pandangan termasuk rasa tidak puas hati.

Mereka boleh guna saluran yang betul, ada kata saya sudah lama sangat dalam parti hingga orang takut nak cakap atau tegur, itu pendekatan tak betul.


Ada yang meramalkan kedudukan Datuk Seri 50-50 selepas PRU13, termasuk jawatan Pesuruhjaya Pas Kedah?

Saya tidak kisah jika selepas ini tak jadi MB, selagi saya masih diamanahkan sebagai MB atau Pesuruhjaya Pas, saya akan terus pimpin hingga PRU13.

Selepas itu, terpulang Pusat nak cadang siapa sebagai MB. Saya ibarat tentera biasa, bila-bila masa boleh diturunkan pangkat. Ada kata saya sudah lama, patut tukar orang lain, Pusat akan putuskan.


Bermakna Datuk Seri akan pertahan kedudukan walau didesak?

Saya akan guna kuasa sebagai ketua untuk pertahan Pas Kedah, malah saya akan buat tindakan sesuai untuk halang pengkhianat dalam parti terus berleluasa. Musuh dalam selimut akan diawasi untuk elak ia merebak.

Tunggu masa sesuai sebab sekarang tumpuan pada PRU13, kita terpaksa buat, pemimpin yang tidak betul kita turunkan pangkat. Pengkhianat sudah
dikenal pasti, cukup bukti kita fikirkan tindakan sesuai sebab saya bertanggung jawab terhadap parti. Tidak perlu kaitkan masalah kesihatan atau usia saya untuk saya lepaskan jawatan , ia bukan ukuran kepimpinan.

Kepimpinan Pas Kedah lancar tetapi ada pengkhianat dalam parti yang mahu saya berundur.


Adakah ini bermakna akan dibuat rombakan dalam Pas Kedah selepas PRU13?

Tidak semestinya, selepas PRU13 akan ada pemilihan parti pada Jun. Ketika itu mungkin ada cadangan lantik pesuruhjaya baru, takkan kita nak biar berlarutan sedangkan mereka buat karenah dalam parti.


Desakan undur ada kaitan dengan pengkhianat dalam parti?

Saya dipilih Pusat, bukan akar umbi lantik. Gesaan tak beri kesan, mungkin sebahagian ahli protes itu ada kaitan dengan pengkhianat dalam parti untuk gerakan jatuhkan saya.

Saya tahu ada rangkaian dari utara hingga selatan namun ahli parti lebih 200,000 yang bagi sokongan. Saya tak akan buat gerakan balas, saya biarkan. Orang yang khianati parti akan makan diri suatu masa nanti.

Benarkah wujud tangan ghaib dalam Pas Kedah yang mencatur pemilihan calon?

Mereka catur dan saya setuju?. Saya dikenali sebagai pemimpin yang ‘chengei’ (garang). Mereka takut pada saya macam mana nak kawal saya dalam hal ini. Tuduhan itu tak betul.

Harapan Datuk Seri untuk Pas Kedah?

Semua pemimpin perlu pegang dasar perjuangan Islam dan disiplin. Walaupun kita parti gerakan Islam, sebagai parti politik, jangan biarkan politik kawal kita hingga pinggirkan nilai Islam. Dalam al-Quran ada sebut, jangan kamu bertelagah, kamu akan gagal dan kekuatan kamu akan hilang. Jika ada pihak berniat serong mahukan kerusi Exco atau MB, untuk capai matlamat politik, perjuangan itu sudah tersasar dan tidak direstuiALLAH SWT.