Selasa, 1 Januari 2013

Amanat antara PAS dan Umno, jangan guna pihak lain


KUALA LUMPUR: Tindakan Umno menggunakan kuasa dan melibatkan pihak lain membuktikan parti itu takut mempertahankan diri berhubung isu Islam, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Amanat (Presiden PAS, Datuk Seri) Tuan Guru Abdul Hadi (Awang) pada tahun 1981 yang menjadi mimpi ngeri kepada Umno itu ialah antara PAS dan Umno, tidak perlu libatkan pihak lain.

"Bila Umno cuba menggunakan kuasa melalui Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan mahu melibatkan para mufti pula, semua itu membuktikan Umno terlalu takut hendak mempertahankan diri bila isu berkaitan pegangan Islam di dalam amanat itu hendak diperjelas dan dibincangkan," katanya.

Walaupun tidak menolak kehadiran para mufti ketika Presiden PAS sendiri memberikan pencerahan mengenai amanat itu, tetapi Mahfuz melihat tindakan mengheret para mufti itu sebagai percubaan Umno untuk memperalatkan institusi mufti bagi mempertahankan dirinya.

"Apa yang berlaku itu sekali lagi membuktikan bahawa kekuatan Umno hanyalah dengan memperalatkan pihak lain bagi kepentingan dirinya.

"Kalau Umno sudah tidak boleh lagi manyalahgunakan kuasa dengan menggunakan harta dan jentera kerajaan termasuk para mufti dan tidak ada kuasa lagi untuk memeras dana politik seperti dana RM40 juta Michael Chia kepada Umno Sabah, parti itu akan hancur dan terkubur," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz juga menyifatkan Umno langsung tidak ada keyakinan diri hendak membincangkan persoalan agama apabila cuba mengheret mufti dan memperalatkan Jakim untuk bertindak.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Othman Mustapha berkata, tindakan boleh diambil ke atas Presiden PAS sekiranya beliau tetap mahu mempertahankan amanat tersebut.

"Mengapa tidak ada keyakinan diri dan mahu menyalahgunakan kuasa sedangkan Umno ada tokoh seperti Datuk Jamil Khir Baharom dan Datuk Dr Mashitah Ibrahim malah Umno juga ada Datuk Nakhaie Ahmad yang merupakan salah seorang wakil PAS dalam debat tak jadi antara PAS dan Umno dalam tahun lapan puluhan dahulu.

"Tidak perlulah peralatkan Jakim dan tak perlu heret mufti-mufti kalau Umno di pihak yang benar," kata Mahfuz merujuk kepada kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim bahawa pihaknya akan menjemput tokoh agama dan mufti negeri-negeri ketika Presiden PAS memperjelas amanatnya melalui RTM.

Dengan tokoh-tokoh pengajian agama yang ada pada Umno sendiri, katanya lagi, bukan sahaja penjelasan mengenai amanat itu dapat diberikan oleh Presiden PAS malah debat atau muzakarah atau apa sahaja yang dinamakan oleh Umno dapat diadakan.

"Dengan debat atau muzakarah tersebut, dapatlah dibincangkan tajuk 'Umno tuduh PAS tuduh Umno kafir' yang selama ini tidak dapat dibincangkan," kata Mahfuz yang menyifatkan Umno langsung tidak ada sifat berani kerana benar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA