Yang benar tidak terikat dengan waktu – Pak Hamka
Tanpa
sedar, masa begitu pantas berlalu. Segala hiruk-pikuk 2012 yang
ditinggalkan kekal menjadi batas tauladan baik dan buruk dalam
kelangsungan rentak hidup yang kian pantas.
Pengundi muda pemangkin kebangkitan
Tahun 2013 bakal menjadi medan penentu kepada golongan muda untuk mencorak peta masa hadapan Malaysia.
Melihat
kepada peningkatan pengundi baru dan pengundi muda yang dianggarkan
sekitar 50% daripada jumlah pengundi berdaftar kali ini, keputusan
penentu PRU13 jelas terletak di tangan pengundi muda di saluran tiga dan
saluran empat peti undi yang pastinya teruja untuk memilih pemimpin
yang mampu membawa sinar baru di Malaysia.
Cadangan daripada
Ketua Penerangan PAS, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, agar SPR mempamerkan
pecahan pengundi mengikut usia mahupun jantina sebagai data rasmi yang
disalurkan kepada media dan rakyat, amat bertepatan dengan demografi
pengundi dan kematangan politik generasi muda yang tidak lagi termakan
dengan agenda dan dakyah berbau perkauman.
“Berdasarkan
data-data sedemikian, parti parti dan ahli-ahli politik akan berbicara
mengenai keperluan masyarakat mengikut usia, dan secara automatik
isu-isu yang dibangkitkan akan meliputi semua kaum”, ujar beliau.
Robert Frost (1874-1963) ada mengungkapkan saranan untuk menempa perubahan di dalam syairnya yang popular, The Road Not Taken, “Dua denai yang tersimpang, dan aku.. aku memilih denai yang jarang ditempuhi, dan ia telah mengubah segalanya”.
Agenda mencorak masa depan
Dalam tempoh kritikal ini, kepimpinan pemuda di semua peringkat perlu
melaksanakan apa yang disarankan oleh Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin
Hassan, “Kita menyertai PRU-13 dengan tujuan untuk mencapai kemenangan,
insyaAllah.
Seluruh Pemuda PAS khususnya yang terlibat di Unit
Pengundi Muda di peringkat JPRN, JPRK, JPRD, dan JPRU perlu tangkas
bergerak mengikut perancangan dan strategi yang telah disusun.
Medan
kita kini adalah untuk menyantuni generasi muda di padang dan
gelanggang sukan, pasar malam mahupun uptown, dengan menyusun aktiviti
anak muda secara berkala seperti aktiviti futsal, wayang pacak di pasar
malam dan kaunter-kaunter semakan daftar pemilih.
Aktiviti
kebajikan di semua peringkat perlu dipertingkatkan dengan gerakkerja
ziarah dan bantuan kebajikan rakyat secara berterusan sebagai ‘Duta
Penyelamat dan Kasih Sayang’ bersama dengan gerakkerja pilihanraya yang
dikemudi Jabatan Pilihanraya di semua peringkat.”
Ini adalah
selaras dengan ketetapan Halatuju Pemuda PAS untuk sesi 2011/2013 bahawa
Pemuda PAS di seluruh peringkat perlu menggerakkan segala sumber yang
ada ke arah mencapai 5 halatuju secara kolektif iaitu:
1) Menggerakkan pendaftaran dan menguasai sokongan pengundi muda
2) Mengoptimum penggunaan media baru bagi mendominasi pemikiran rakyat
3) Menampilkan PAS sebagai parti yang
prihatin dan pembela nasib rakyat
4) Membina dan menampilkan tokoh pemimpin muda negara
5) Memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan memposisikan PAS sebagai parti teras dalam Pakatan Rakyat.
Pemuda
PAS harus sedar bahawa amanah yang terpikul di bahu adalah besar, bukan
sekadar untuk memenangi pilihanraya, tetapi turut memikul amanah untuk
mencorak kemenangan. Cabaran besar terhadap dayasaing kita pada hari ini
bukan lagi bersifat ‘antara-pakatan’ (inter-coalition) tetapi turut
bersifat ‘sesama-pakatan’ (intra-coalition).
Cabaran pasca UMNO/BN kelak lebih mencabar sifatnya kerana kita
bukan lagi bersaing dengan penguasa diktator yang zalim lagi jelas
kemungkarannya, tetapi kita berdepan dengan sahabat politik dan rakan
NGO yang sama-sama bersaing dengan dasar yang berbeza bagi mengisi vakum
yang bakal ditinggalkan oleh regim UMNO/BN.
Ketika itu, apa
yang menjadi faktor penentu terhadap jatuh-bangun PAS dalam memposisi
perjuangannya sebagai gerakan tarbiyah, dakwah dan siasah, bergantung
kepada kompetensi dan integriti yang dipamerkan oleh kaderkader jamaah
dalam mengemukakan corak dan bentuk bernegara yang lebih baik.
Justeru,
ia bukan lagi suatu pilihan tetapi merupakan satu kewajipan yang sangat
mendesak bagi setiap individu pemuda untuk menyerlahkan kekuatan dan
kepakaran masing-masing, sehingga mampu membuktikan kepada rakyat betapa
‘malaikat tidak dikenali’ (the unknown angel) ini benar-benar mampu
untuk diberikan amanah mencorak masa depan negara.
Ini adalah
suatu kewajipan kolektif dalam merealisasikan secara praktikal agenda
‘Islam sebagai ad-Din’ dalam ruang dan peluang demokrasi di Malaysia.
“Dan
(ada lagi) kurnia yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan
kemenangan yang hampir waktunya. Dan sampaikanlah berita gembira kepada
orang-orang yang beriman.” (As-Saff: 13)
2013, fajar untuk negara berkebajikan, insyaAllah.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA