Pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP pada kongres ke-16 parti itu hujung minggu lalu menyaksikan tiada seorang pun ahli Melayunya terpilih ke dalam jawatankuasa itu.

Namun, CEC yang baru membuat keputusan melantik dua anggota Melayu - Senator Ariffin SM Omar dan setiausaha politik Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari - satu langkah yang dilihat sesetengah pihak sebagai usaha untuk menyedapkan hati pengundi Melayu.

Analisa yang sambil lewa dan dibuat tanpa menghadiri kongres itu akan merumuskan kegagalan lapan calon Melayu yang bertanding sebagai penolakan terhadap kepimpinan Melayu dalam DAP.

Bagaimanapun, temubual ringkas dengan sebahagian yang kalah selepas pemilihan itu membuktikan sebaliknya.

NONEAhmad Ton telah menjadi ahli selama 36 tahun percaya beliau mempunyai banyak ruang untuk menyumbang ke dalam parti di peringkat negeri walaupun tidak lagi berada dalam CEC.

"Saya memegang jawatan di peringkat jawatankuasa negeri dan saya akan berusaha di peringkat negeri," katanya yang merupakan naib pengerusi DAP Johor.

Ahmad yang ditemui selepas pengumuman sepuluh anggota lantikan CEC tetap tersenyum dan kelihatan tetap bertenaga walaupun tidak dilantik ke dalam jawatankuasa itu.

Tegasnya, beliau kekal yakin dengan DAP sebagai wadah untuk menzahirkan konsep bangsa Malaysia.

"Saya dah menjadi ahli (DAP) selama 36 tahun dan saya percaya dengan DAP sebab konsep dia nak wujudkan satu konsep rupa bangsa Malaysia," katanya.