Pulau Pinang tagih janji BN
Lim Guan Eng (kiri) menunjukkan rakaman CCTV yang dipsang di Flat Padang Tembak.
 
GEORGETOWN - Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Pulau Pinang Sabtu ini diharap dapat memberi kegembiraan kepada rakyat dengan menunaikan beberapa perkara yang dijanjikan sebelum ini.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, projek membina monorel disebut bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi enam tahun lalu dan sehingga kini belum dilaksanakan.
Beliau berkata, Najib pula berjanji untuk menempatkan 200 bas Rapid Penang baru dua tahun lalu, namun sehingga sekarang gagal ditepati.
“Banyak janji belum ditepati dan kita berharap kehadiran Najib boleh umum sesuatu mengenai  projek pengangkutan awam di Pulau Pinang," katanya selepas merasmikan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di Flat Padang Tembak di sini, hari ini.
Turut hadir, Exco Perancangan Bandar, Desa, Perumahan dan Kesenian, Wong Hon Wai, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan Adun Kebun Bungah, Jason Ong  Kham Lee.

Mengenai pemasangan CCTV itu, Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri membelanjakan hampir RM90,000 untuk memasang 122 unit di sekitar perumahan itu.
Menurutnya, pemasangan CCTV itu dapat menjamin keselamatan penduduk dan mengurangkan jenayah di situ.