Najib: 'Saya khuatir sikit soal kita sesama kita'
Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tidak dapat menyembunyikan kekhuatiran terhadap kemungkinan 'tindak balas' dari anggota yang tidak terpilih sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang.
Walau percaya bahawa sokongan umum akan memihak kepada BN, Najib tetap bimbang bahawa beliau akan menghadapi tindakan sedemikian daripada pemimpin Umno yang tidak dipilih sebagai calon.
"Saya percaya musuh kita tidak kuat.... saya yakin orang ramai akan memihak kepada BN... yang saya khuatir satu sahaja... sikit sahaja... soal kita sesama kita," tegasnya dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang ini.
Sepertimana dalam perhimpunan terdahulu, Najib turut meminta perwakilan membacakan ikrar agar taat kepada parti serta bekerja demi kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.
Tapi bezanya para perwakilan kali ini diminta menjawab soalan cepu emasnya – sama ada akan menyokong calon pilihan Umno sekiranya mereka sendiri tidak terpilih.
"Saya beri lima kemungkinan. Pertama sokong sepenuhnya calon yang dipilih parti; kedua, sokong; ketiga, tidak bekerja; keempat, sabotaj dan kelima lompat parti," katanya.