KUALA LUMPUR, 9 Sept — Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menghormati perjanjian 18 perkara semasa Sabah dan Sarawak bersama Malaya membentuk Persekutuan Malaysia, kata penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Ahli parlimen Ipoh Timur itu berkata, dengan membiarkan dua negeri itu mundur, rasuah berleluasa, rampasan tanah adat (NCR) dan tidak menghormati Borneonisasi, jelas sekali perjanjian 18 perkara perlu dilihat semula oleh rakyat Sabah dan Sarawak.

Lim Kit Siang: Hasil Sabah dan Sarawak dirampas oleh pemimpin BN. — Foto fail
“Seperti saya melawat Sarawak selama empat hari, saya melihat infrastruktur di negeri tersebut masih lagi terbelakang, terutamanya jalan raya, paip air dan bekalan elektrik,” kata Lim dalam ucapannya di Bau, Sarawak, semalam. “Kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang kaya dengan hasil bumi, tetapi hasil itu dirampas oleh pemimpin BN, menyebabkan dua negeri ini ketinggalan dengan tiada bekalan air dan elektrik di beberapa bahagian di negeri ini.”
Selain itu, katanya, rampasan tanah adat, yang berlaku di beberapa kawasan di Sarawak, jelas sekali melanggar salah satu perkara dari perjanjian 18.
“Oleh itu, saya bersetuju dengan kenyataan ahli parlimen Sibu dan ahli dewan undangan negeri Bukit Assek, Wong Ho Leng, yang berkata, sebagai negeri yang terbesar di Malaysia, tidak seharusnya rakyat di negeri sendiri tidak memiliki tanah.
“Tetapi itu hanya boleh dilakukan sekiranya kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah, bukan BN,” kata Lim.
Penasihat DAP itu berkata, walaupun menentang rasuah adalah salah satu dari enam teras dari Bidang Berkehasilan Utama Negara (NKRA), namun sejak tiga tahun kebelakangan ini rasuah makin berleluasa dan semakin buruk.
“Di Malaysia, Sarawak adalah negeri yang paling teruk berleluasa gejala rasuah,” katanya.