Najib: 'Saya rasa nak umum pilihan raya dah'
Najib Tun Abdul Razak (tengah) bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada Majlis Jom Beraya Bersama Rakyat di Machang hari ini. - Foto Bernama
 
MACHANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi bayangan terbaru hari ini – kali ini di Kelantan – mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, beliau sudah mahu mengumumkan tarikh PRU13 yang dinanti-nantikan banyak pihak.

"Ambo rasa nak umum pilihan raya dah. Pilihan raya ini sebenarnya untuk apa. Ini adalah untuk masa depan kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Jom Beraya Bersama Perdana Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah di sini, hari ini.

Hujung bulan lalu, ketika berucap di Baling, Kedah, Najib secara berseloroh berkata, beliau sudah ada semangat untuk membubarkan Parlimen.

"Semangat nak bubar Parlimen... tengoklah dulu," kata beliau di akhir ucapannya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan berkumpulan enam bahagian Umno Selatan Kedah di Kompleks Rakan Muda Baling.